Dash | Follow

عائشة كيدال


Catatan dan penulisan ini bukan kerana nama. Nama tidak menjamin Redha Rabbuna. Penulisan ini bukan kerana harta. Lagilah harta tidak menjamin ke syurga. Bukan juga kerana terpaksa. Memaksa itu bukan sifatnya Habibullah. Ini bukan kerana sesiapa, kerana sesiapa bukan ghoyah utama. Penulisan ini hanyalah kerana Allah kerana redha-Nya adalah kunci kejayaan dunia. Gerbang menuju ke Jannah



owner stuff VVIP Back


JANGAN memandang aku seperti MALAIKAT , jika aku melakukan kesilapan , kamu menghina aku seperti SYAITAN , sedangkan aku manusia biasa sama seperti KAMU. .





.


Ummu Sulaim Ibu Mithali






Sabda Rasulullah SAW: ''Aku masuk syurga lalu terdengar sebuah suara di hadapanku. Ternayata beliau ialah al-Ghumaisha' bintu Mihan.'' (Hadis Riwayat Bukhari.)

Menyusuri jejak srikandi syurga ini jelas terpamer keperibadian unggul yang sukar disangsi, malah dilihat sebagai seorang wanita yang tinggi kemuliaannya oleh baginda Rasulullah SAW. Cahaya yang memancar dan menyinar seluruh gerak geri mujahidah ini membuatkan namanya terukir indah dalam barisan para sahabiyah ansar yang dikagumi dan diteladani seluruh umat manusiawi.


Beliau srikandi yang mulia dan hebat kerana kebijaksanaan, keberanian, kemurahan hati, kesucian peribadi dan keikhlasan tulus yang terzahir dalam dirinya semata-mata hanya untuk Allah SWT dan Rasul-Nya. Ummu Sulaim binti Mihan bin Khalid bin Zaid bin Haram An-Najariyah al-Anshariyah al-Khazrajiyah secantik nama dan seindah peribadi yang telah menghimpunkan ilmu, kecemerlangan dan kebaikan dirinya sepanjang zaman.


Di saat pintu kemuliaan terbuka, perasaan cinta dan jiwa wanita yang bijaksana ini dilihat terus memancar pada segenap ppenjuru agama Islam. Beliau benar-benar mengabdikan diri bersama keimanan dan ketaqwaan hanya kepada Allah SWT. Hal ini telah dilihat sejak hari pertama keislamannya. Ummu Sulaim telah menyajikan keteguhan peribadi yang mengagumkan. Keperibadian ini menunjukkan barakah dan ketajaman akalnya, di samping iman, keikhlasan dan kebenarannya. Iman terus meresap ke dasar hatinya dan kekal terpateri di sana. Beliau mencintai Islam dengan kecintaan yang sangat mendalam, sehingga beliau tetap teguh dan tega mengharungi pahit maung ujian dan halangan daripada suaminya yang masih musyrik.


Tatkala hal pengislaman Ummu Sulaim telah samapi di pendengaran suaminya, perkara itu telah membuatkan suaminya murka.


''Apakah engkau telah murtad?'' soal suaminya di saat berhadapan dengan Ummu Sulaim.Maka jawab Ummu Sulaim dengan tegas, ''Aku tidak murtad, tetapi aku telah beriman dengan orang ini (Rasulullah SAW)''.

Perasaannya ketika itu langsung tidak gentar walau sedikit pun kerana keimanan yang tulus itu telah meresapi segenap jiwa sanubarinya. Tidak cukup dengan itu, beliau turut memimpin tangan anaknya, Anas dan mengisyaratkan agar anak tercinta itu mengucapkan lafaz syahadah. Anak kecil itu sekadar akur dengan arahan ibunya kerana perasaan kasih kepada ibu yang sedang membawanya ke arah pintu kebaikan dan kerahmatan.


Melihat situasi yang berlaku di hadapannya, suaminya, Malik semakin marah sehingga beliau menengking dengan keras, ''Jangan kau rosakkan anakku!''. Tetapi Ummu Sulaim tetap tenang dan dengan berbekalkan kebijaksaannya, dia lantas menjawab, ''Sesungguhnya aku tidak merosakkannya, tetapi menunjukinya kepada kebenaran.''


Merasakan dirinya tewas dengan kecekalan dan ketetapan hati isterinya, Malik bin An-Nadhar memulakan perjalanan ke Syam. Dia membawa segumpal kemarahan dan kebencian. Tetapi di pertengahan perjalanan menuju ke Syam, beliau telah dibunuh oleh musuh. Berita kematian suaminya sampai ke pengetahuan Ummu Sulaim, walaupun sedih namun beliau menerimanya dengan berlapang dada dan bernekad untuk memelihara Anas sebaik-baiknya. Beliau juga berjanji tidak akan berkahwin semula sehinggalah Anas membenarkannya berbuat demikian.


Sejak itu, perhatian dan kasih sayang beliau hanya tertumpah kepada pendidikan anaknya. Beliau telah mengajarkan Anas tentang kecintaan kepada Rasulullah SAW dan Islam. Pernah suatu ketika, setelah baginda Rasulullah SAW tiba di Madinah sebagai Muhajir, Ummu Sulaim segera mendatangi baginda dengan membawa Anas yang pada ketika itu masih kanak-kanak dan belum mencapai usia baligh. Ketika berdiri berdepan dengan baginda Rasulullah SAW, Ummu Sulaim telah berkata kepada baginda:


''Ya Rasulullah, ini Unais (nama timangan Anas). Aku mendatangi engkau wahai kekasih Allah, agar dia mengabdi kepada engkau. Maka berdoalah kepada Allah bagi dirinya.''Maka, baginda bersabda: ''Ya Allah, perbanyakkanlah harta dan anaknya.'' (Dala'ilun-Nubuwwah, 6/194-195 )


Sejak dari itu, Anas telah mendapat bimbingan dan asuhan di rumah baginda Rasulullah SAW yang kemudiannya meletakkan beliau kepada kedudukan yang mulia sebagai salah seorang sahabat terkemuka.

Ummu Sulaim benar-benar mengotakan janji yang pernah diucapkan kepada anaknya. Beliau mendidik Anas dengan sebaik-baik didikan, sehingga Anas pernah berkata: ''Semoga Allah memberikan balasan kebaikan kepada ibuku kerana beliau telah mengasuhku dengan sangat baik.''


Ummu Sulaim juga telah bertekad tidak menerima lamaran-lamaran yang datang kepadanya sehinggalah Anas berusia cukup dewasa. Namun, tidak berapa lama selepas itu, setelah Anas meningkat dewasa dan lebih memahami tentang kehidupan, Ummu Sulaim telah dilamar oleh Abu Talhah Al-Anshary yang ketika mengajukan lamaran tersebut masih seorang musyrik. Ummu Sulaim dituntut untuk mempertimbangkan lamaran lelaki tersebut kerana Abu Talhah merupaka seorang yang berpengaruh di dalam masyarakat. Ketika Abu Talhah menemui beliau buat kali kedua untuk tujuan yang sama, Ummu Sulaim menjawab lamaran tersebut dengan berkata:


''Wahai Abu Talhah, lelaki seperti engkau tidak layak untuk ditolak. Tetapi engkau seorang kafir sementara aku wanita Muslimah dan tidak mungkin bagiku untuk menikahi engkau.'' Tutur Ummur Sulaim dengan penuh berhemah.

''Apa yang perlu kulakukan untuk tujuan itu?'' tanya Abu Talhah yang masih mengharapkan lamarannya diterima. Perasaan kasihnya kepada Ummu Sulaim terasa mekar di hati kerana keperibadian yang jelas terpamer di ruang sanubari wanita ansar itu.

Maka jawablah Ummur Sulaim: ''Hendaklah engkau menemui Rasulullah SAW.''

Apabila mendapat jawapan daripada Ummu Sulaim itu, Abu Talhah segera beranjak untuk menemui Rasulullah SAW yang ketika itu sedang duduk di tengah-tengah para sahabat. Ketika melihat kehadiran Abu Talhah yang tidak dijangka, banginda SAW bersabda: ''Abu Talhah mendatangi kalian, dan tanda-tanda keislaman tampak di antara kedua matanya.''


Abu Talhah tidak melengahkan masa, lantas dia memberitahu Rasulullah SAW apa yang dikatakan oleh Ummu Sulaim di saat melamar Ummu Sulaim. Akhirnya, Abu Talhah memeluk Islam di hadapan baginda dan para sahabat yang hadir pada ketika itu. Beliau juga bersetuju menikahi Ummu Sulaim dengan mahar keislamannya.


Apabila khabar pengislaman Abu Talhah sampai kepada pengetahuan Ummu Sulaim, lantas berkatalah Ummu Sulaim kepada anaknya: ''Wahai Anas, bangkitlah dan nikahkanlah Abu Talhah.''


Firasat Ummu Sulaim terhadap Abu Talhah ternyata benar. Pilihannya ini membuatkan beliau meraih kebahagiaan kerana kebaikan, keikhlasan dan kemuliaan suaminya. Abu Talhah juga merasai kebahagiaan itu kerana pernikahannya dengan seorang wanita Mukminah yang bertakwa. Ummu Sulaim telah menyebabkan Abu Talhah keluar dari kegelapan syirik menuju cahaya tauhid, Islam dan jihad. Allah SWT kemudiannya memuliakan suami isteri ini dengan kelahiran seorang anak lelaki yang diberi nama Abu Umair.


Ketika mengecapai kebahagiaan berumah tangga, ternyata Allah SWT berkehendak untuk menguji keluarga suci ini. Suatu hari, Umair jatuh sakit dan meninggal dunia ketika Abu Talhah pergi ke masjid. Ummu Sulaim menerima pemergian anak kecil itu dengan jiwa yang reda dan sabar. Beliau telah membaringkan jasad anaknya itu di atas tempat tidurnya dan berkata kepada ahli keluarganya yang lain: ''Jangan kalian sampaikan khabar ini kepada Abu Talhah berkenan anaknya. Biar aku saja yang menyampaikan hal ini kepadanya.''


Apabila Abu Talhah pulang dari masjid, lantas dia bertanya keadaan Umair: ''Bagaimanakah keadaan anakku wahai isteriku?''


Dengan hati yang tabah Ummu Sulaim menjawab: ''Dia lebih tenang dari keadaan sebelumnya.''

Kemudian Ummu Sulaim terus menghidangkan makan malam kepada Abu Talhah dan menghiaskan dirinya secantik mungkin. Pada malam tersebut, mereka berjima' dan setelah selesai, Ummu Sulaim mengkhabarkan kematian Umair kepada suaminya.


Abu Talhah berasa sedih serta timbul kemarahan di hatinya. Beliau mendatangi Rasulullah SAW dan menceritakan perlakuan isterinya, mendengarkan kisah tersebut, Rasulullah SAW bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan di tengah umatku seorang wanita yang sabar seperti kesabaran wanita Bani Israel.'' (As-Sirah Al-Halabiyah, 3/74 )


Rasulullah SAW bertanya kepada Abu Talhah: ''Apakah semalam kalian telah berjima'?'' Maka jawab Abu Talhah: ''Ya Rasulullah.''

Rasulullah SAW mendoakan keberkahan bagi pasangan tersebut dan doa banginda SAW ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Tidak lama kemudian, Ummu Sulaim telah melahirkan anak lelaki yang diberi nama Abdullah hasil dari perhubungan tersebut.


Diriwayatkan, Abdullah bin Abu Talhah termasuk orang-orang yang soleh. Tanda itu jelas terlihat di wajahnya. Abayah bin Rafi' berkata: ''Aku melihat anak itu kemudian hari mempunyai tujuh anak lelaki yang kesemuanya hafal al-Quran.''


Begitulah keperibadian yang jelas terpancar di dalam diri Ummu Sulaim. Srikandi tauladan ini lambang dimensi wanita, isteri dan ibu mithali yang memiliki kehambaan yang sejati. Walaupun dianugerahkan dengan segala sifat kesempurnaan, namun perasaan rendah diri, rasa takut pada Allah, dan rasa cinta kepada Rasulullah terus menebal di dalam diri kerana keimanan dan ketaqwaan yang terzahir di ruang sanubari telah diserahkan kepada DIA yang berhak menerimanya.






Post a Comment